Hasil Kacang Panjang Tai Hong 2
Assalamualaikum dan selamat sejahtera..
Dah hampir 2 bulan saya tak update blog nie. Sibuk sangat menguruskan kebun pada bulan ramadhan dan bercuti pada hari raya 🙂 . Laptop pula mengalami kerosakan dan menyukarkan untuk saya berkongsi pengalaman menanam kacang panjang Tai Hong 2. Pokok kacang pun dah sampai ke penghujung.
Tahniah kepada mereka yang mengikut jadual saya menanam kacang yang telah saya syorkan pada awal bulan 6 kerana harga kacang cukup tinggi sehingga sekarang. Harga ladang jualan kacang panjang terendah yang saya terima untuk musim ini adalah RM2.50/kg, itupun untuk 5hari sahaja. Purata harga kacang panjang yang dijual adalah Rm3.00/kg ke atas. Menjelang hari perayaan harga kacang melonjak naik sehingga RM4.80/kg tapi hasil kacang pula dah kurang.
Saya amat berpuas hati dengan benih kacang panjang Tai Hong 2 kerana pokoknya mengeluarkan buah yang banyak dan buahnya panjang sampai penghujung musim. Walaupun benihnya mahal tapi ia cukup berbaloi kerana saya dapat mengeluarkan sehingga 1.3 tan kacang untuk 400gm benih. Insha Allah dalam bulan 9 nie saya akan membuka semula kedai menjual benih dan menjual benih kacang ini kepada mereka yang minat tanam di rumah. Anda boleh merasai sendiri menanam pokok kacang yang mempunyai buah yang panjang 2 – 2.8kaki. Purata 1kg kacang jenis ini adalah 35 – 40 batang. Tapi semua bergantung pada kesuburan tanah yang anda tanam.
Gambar Hari Pertama Petik
Pokok kacang jenis Tai Hong nie memang tahan dari serangan penyakit. Walaupun ada masalah karat daun pokok masih mampu bertahan dan terus mengeluarkan buah dengan banyak. Buah kacang jenis ini juga tahan dam lambat kembang. Jika di simpan ia tidak mudah lembik. Kacang ini mempunyai buah warna hijau muda dan rasa sedap.
Masalah pokok kacang ini adalah sama seperti pokok kacang yang lain seperti karat daun dan karat buah tetapi boleh dikawal. Buah kacang juga sekata besarnya dari hujung ke hujung tidak seperti kacang panjang jenis 323 buah hujung bawah makin mengecil.
Gambar di atas adalah pokok kacang jenis Tai Hong 2 yang mula mengeluarkan buah. Buah kacang tegak dan panjang dan sentiasa berbunga dan mengeluarkan buah. Gambar semak dengan rumput sambau :-).
Biasanya sehari 1-3 jam diperlukan oleh seorang yang mahir untuk memetik kacang panjang untuk keluasan suku ekar. Semuanya bergantung pada jumlah kacang yang dipetik. Waktu kemuncak 3 bakul kacang panjang boleh dikeluarkan (sebakul 35kg). Biasanya 2 hari sekali mesti dapat petik 50-70kg kacang panjang.
Gambar 36kg Kacang Panjang
Inilah gambar buah kacang panjang jenis Tai Hong 2. Buahnya panjang lebih dari bakul. Kalau buah cantik macan nie memang senang nak jual dipasar borong. Jika buah berkarat pada tangkai kacang yang menjadi masalah nak jual. Penjagaan dari peringkat awal boleh mencegah karat buah..
Motor 3 Roda
Dengan motor 3 roda inilah saya mengangkat kacang panjang dari kebun. Inilah pertama kali guna sejak terima moto 3 roda dari Fama bulan 6 lepas. Kerja-kerja mengangkat kacang dan sayuran lain adalah lebih mudah lepas terima motor 3 roda. Jika dahulu terpaksa ulang alik banyak kali ke kebun untuk mengangkat hasil. Sekarang semua kerja jadi lebih cepat. Saya adalah peserta ladang kontrak fama, jika sesiapa yang ingin berniaga guna motor 3 roda bolehlah membuat ladang kontrak dengan fama. Boleh terus ke Pejabat Fama Daerah masing-masing untuk mendapatkan maklumat.
Ok, setakat ini dahulu sahaja post saya. Saya akan kongsi cerita yang lain pada masa akan datang. Selamat Hari Raya Aidilfitri saya ucapkan dan Maaf Zahir Batin. Terima kasih.
Informasi yg sangat bermanfaat,
terima kasih sudah menambah wawasan untuk semua petani2 di Indonesia.
Salam Indonesia Jaya!